!TEMAN-TEMAN BLOG!

Wednesday 12 December 2012

2 Malam 1 hari - Kota Kinabalu, Sabah 8-10 Nov 2012



Night 1 – Kota Kinabalu

Lawatan kali kedua aku ke Kota Kinabalu sebulan yang lepas akhirnya tercapai. Memang suatu percutian yang tiada aku rancang. Kebetulan aku ada kursus 2 hari di Miri, jadi aku ambik kesempatan untuk ke Kota Kinabalu. Beberapa hari sebelum ke Kota Kinabalu aku mencari-cari tempat tinggal yang sesuai. Kedatangan aku ke Sabah sebenarnya ingin melihat Gunung Kinabalu dapat tengok dari jauh pun jadilah.

Tune Hotel dan hotel sekitar  pasar Filipina dalam senarai aku. Semasa belek-belek website kat TuneHotel aku terbaca ada pakej ke Taman Kinabalu dan Poring Hot Springs…hurmmm interesting. Aku cari info-info pasal Taman Kinabalu dan Poring Hot Springs. Jadi aku ambik pakej tinggal di Tune Hotel dan bayar secara online RM 280.76 utk 2 malam termasuk pakej ke Hot Spring.




Aku menaiki pesawat ATR Maswings ke Kota Kinabalu kerana Air Asia tiada menyediakan penerbangan sebelah malam. Habis kursus aku bergegas ke Miri Airport menaiki pesawat jam  930 malam. Penerbangan ini mengambil masa 55 minit, tiada permandangan yang dapat dilihat di balik malam yang pekat. Jadi hanya pejam mata dan tidur. Tiba di Lapangan Terbang Kota Kinabalu Terminal 1 lebih kurang jam 1030 malam. Setelah melalui pemeriksaan imigresen aku bergegas mendapatkan teksi, lenguh jugak kaki berjalan dari balai ketibaan hingga ke pintu keluar, Lapangan Terbang Kota Kinabalu Terminal 1 ni memang besar huhuhu…

Setelah mendapatkan kupon teksi, aku perlu membayar RM50 dari airport ke TuneHotel. Perjalanan ke Tune Hotel lebih kurang 25 minit, jauh jugak tu. Sampai kat hotel aku terus check-in dan mendapatkan maklumat berkenaan pakej yang aku ambil ke Hot Spring esok pagi. Staf Tune Hotel memang helpful, khuatir juga aku tidak dapat mengikut pakej tersebut sebab kuota dah penuh dan aku pula lewat nak membuat pengesahan sehari sebelum mengikuti pakej tersebut.

Thank you to the Tune Hotel staf she managed to arranged my trip to Kinabalu Park dan Poring Hot Springs accordingly. So aku dikehendaki berada di lobi jam 715pagi. Bilik tidur dengan basic amenities sudah cukup bagi aku, cuma aku ada menambah RM16 untuk comfort package di mana aku diberikan sabun, syampu dan sehelai tuala dan 12 jam penghawa dingin. Jangan risau malam-malam kalau nak melepak di sini ada starbucks bagi penggemar kopi seperti aku dan 7-Eleven kalau lapar boleh dapat secawan Mi Maggie untuk mengisi perut. Masa untuk tidur dan tidak sabar untuk memulakan perjalanan ke Taman Kinabalu dan Poring Hot Spring.





Day-1
Seawal 6 pagi aku sudah bangun. Aku betul-betul terpana dengan permandangan pagi hari Bandar Kota Kinabalu dari bilik aku. Kalau ambik tingkat tinggi sikit memang boleh leka dengan permandangan. Tiada kedai atau restoran berhampiran untuk aku bersarapan, jadi aku hanya isi perut dengan roti dan kopi Tongkat Ali panas yang ada di 7-Eleven terletak di lobi Tune Hotel.


Pukul 7 pagi aku sudah bersiap menunggu pemandu pelancong yang akan membawa aku ke Taman Kinabalu dan Poring Hot Springs. Lebih kurang 730 pagi seorang lelaki memperkenalkan dirinya Joseph menyapa aku, “Encik Rosdy?”, aku menganguk dan tersenyum. Dia menerangkan hanya aku seorang sahaja akan ke Poring Hot Spring bersamanya pagi ni, tapi dia perlu menghantar 2 orang pelancong mat salleh ke Taman Kinabalu kerana mereka akan memulakan pendakian di sana.  Aku hanya menyatakan apa yang penting aku dapat menikmati permandangan gunung Kinabalu dan menjejak kaki ke Poring Hot Springs dan Taman Kinabalu sudah cukup bagi aku.



Memulakan perjalanan lebih kurang 740 pagi dua orang pelancong tersebut baru selesai bersarapan di hotel bersebelahan. Aku duduk di bahagian depan van dan dua pelancong itu duduk di belakang. Aku mengambil peluang untuk berborak dengan Joseph yang turut menjadi driver van tersebut. Joseph adalah suku kaum dusun dan kami berdua banyak bercerita budaya antara Sabah dan Sarawak. Sesekali mata aku terpegun dengan permandangan sepanjang perjalanan tersebut.




Van kami melalui kaki bukit aku memang kagum dengan permandangan Banjaran Crocker dan sesekali kelihatan Gunung Kinabalu yang megah berdiri di kejauhan. Kami berhenti seketika di Pekan Nabalu untuk 15 minit. Di sini ada gerai kraftangan dan barangan cenderamata.  Aku membeli beberapa cenderamata untuk dibawa balik ke Sarawak, khuatir nanti tiada kesempatan untuk membeli cenderamata di tempat lain. Jangan terkejut kalau harga yang tertera pada barangan mungkin agak mahal, harga yang tertera itu adalah untuk warga pelancong negara asing.  Contohnya t-shirt tertera harga RM45, tapi orang Malaysia akan diberi harga RM25 sehelai, tapi kalau bijak menawar boleh mendapat harga lebih rendah lagi.





Kami meneruskan perjalanan ke Taman Kinabalu, pemanduan kami agak perlahan kerana melalui beberapa selekoh bukit. Tiba di Taman Kinabalu, agak malang sebab aku tidak dapat menikmati permandangan Gunung Kinabalu sebab kabus agak tebal dan menutupi permandangan. Joseph mendaftar masuk dua pelancong yang bakal menakluki Gunung Kinabalu. Aku hanya berjalan di kawasan sekitar Taman Kinabalu yang merupakan tapak warisan dunia dan taman perlindungan untuk spesis flora dan fauna. Aku sempat ke kedai cenderahati dan membeli beberapa penanda buku dengan lukisan gunung Kinabalu.




Setelah selesai mendaftar dua pelancong tersebut, sekarang hanya aku dan Joseph sahaja yang akan meneruskan perjalanan dengan van yang sama. Kami sempat singgah ke Pasar Sayur Kundasang, sayur-sayur dan buah-buahan di sini dijual segar dari kebun-kebun kampong yang berhampiran. Strawberry pun ada namun comel-comel tidak sebesar saiz-saiz seperti yang dijual di Cameron Highlands. Aku sempat membeli sepeket kecil strawberi dengan harga RM8. Rasanya tiada beza Cuma saiznya agak kecil.
Perjalanan diteruskan ke Ranau dan kami tiba di Poring Hot Springs lebih kurang jam  1030 pagi. 




Joseph my tourist guide
Aku sempat bertanya kepada Joseph, Poring itu apa? Joseph menjelaskan Poring itu dalam bahasa Kadazandusun ialah sejenis spesis Buluh yang tumbuh liar di situ. 



Patutlah ketika masuk ke Hot Springs banyak buluh-buluh tinggi dan tumbuh di situ. Joseph menunjukkan aku sebuah batu besar yang menjadi punca air panas bersulfurik itu.


Joseph kemudian membawa aku menuju ke kaunter tiket Laluan Kanopi (Canopy Walkway) untuk menikmati pemandangan Hutan Borneo Flora. Oleh kerana pakej yang aku bayar sudah termasuk harga tiket, aku Cuma perlu membayar tiket untuk membawa masuk kamera sebanyak RM5 sahaja. Joseph memberitahu aku perlu melalui beberapa jambatan gantung. Kasut sukan dan sebotol air memang perlu ketika melalui Laluan Kanopi ini. Semput jugak aku pada mulanya, selepas mendaki lebih kurang 350 meter aku berehat di sebuah pondok rehat pertama “Pondok Tagaut” . Hampir sepuluh minit aku menghilangkan lelah di sini. Aku berjalan sendirian tanpa ditemani Joseph…satu cabaran bagi aku.


Tidak lama kemudian aku sampai ke Pondok Manggas, permulaan pertama canopy walk melalui jambatan gantung sepanjang 175meter dan setinggi 40 meter. Laluan jambatan gantung yang sempit ini hanya boleh menampung seramai 6 orang sahaja pada satu masa. Mulanya memang berdegup jantung sebab sesekali  jambatan gantung ini akan berayun. Memang tidak digalakkan untuk mereka yang gayat. Ada beberapa point jambatan gantung yang perlu dilalui sambil menikmati kehijauan. Secara jujur aku memang cepat-cepat nak habiskan  point terakhir jambatan gantung ni. Huhuhuhu dah tak tahan dengan penatnya dan dengan mula dah perasaan gayat aku menerjah.

Habis Canopy Walkway aku merendam kaki di kawasan Air Panas. Harap-harap hilang lenguh kaki aku. Sambil menunggu jam 12.30 tghari, sebab aku berjanji dengan Joseph aku akan berjumpa dia di pintu masuk Hot Spring untuk makan tengah hari. Makan tengah hari ni kira masuk pakej yang ditawarkan. Dah penat selera pun kurang huhuhuhu…tak larat dah.



Jam 1 petang Joseph dan aku sudah bersedia untuk pulang ke hotel. Joseph bertanya kepada aku sama ada aku nak melihat bunga Rafflesia. Boleh juga kata ku. Peluang sekali seumur hidup memang tak akan aku lepaskan. Aku dibawa ke Kampung Kokob. Bunga Rafflesia di sini tumbuh di tanah-tanah penduduk kampong, dan untuk melihat bunga ni kita perlu membayar RM20 kepada mereka kerana mereka adalah penjaga bunga tersebut. Memang beruntunglah tuan tanah jika bunga Rafflesia tumbuh di tanah mereka. Menurut kata Joseph, bunga ini mengambil masa 9 bulan untuk kembang dan hidup hanya untuk lima hari. Aku rasa itulah kali pertama aku melihat bunga Rafflesia secara dekat.


Sekarang tiba masa untuk pulang ke hotel. Walaupun mengantuk dan penat aku memang tak dapat menahan diri untuk menikmati pemandangan sepanjang pulang. Aku tiba di Tune Hotel lebih kurang jam 4 petang. Thank you Joseph my tourist guide. Rehat kejap dan akan explore OneBorneo dan misi mencari Pasar Malam Kampung Air.

To be continued.




1 comment: