Semalam aku pergi menonton …Dalam Botol, kat Kuching satu cineplex jer yang tayangkan cerita ni. Tarikan aku menonton filem ni bukan kerana aku minat pelakon dan pengarahnya, tapi kerana kontroversi yang dicetuskan seawal pembikinan filem ni. Mungkin Raja Azmi yang sebelum ini sering dikaitkan sebagai produser kepala kuning dan filem yang pernah diterbitkannya berunsur SX. Tertanya juga kenapa Raja Azmi berani untuk menerbitkan sebuah drama yang berat temanya yang mengisahkan percintaan lelaki gay, bisex dan penukaran jantina. Judulnya yang dulu mungkin agak lancang dan menggemparkan kini hanya dipendekkan ...Dalam Botol.
Homoseksual, Transeksual dan Gay mungkin satu perkara yang masih taboo bagi kita di Asia yang masih berpegang kepada nilai-nilai ketimuran. Tapi sebelum ini kita pernah di momok dengan filem-filem pendek yang memaparkan isu-isu seperti ini, macam Bukak Api, Comolot dan Cukang yang dilihat sebagai filem yang berani namun tidak ditayangkan secara umum.
Kalau dinilai secara moralnya filem ini bukanlah filem seks atau porno. Inti filem ini adalah paparan realiti yang diambil dari kisah benar tentang manusia yang mengikut nafsu dan tidak berfikir panjang. Ruby/Rubidin sanggup mengorbankan kelelakiannya hanya kerana cintanya pada Ghaus. Namun pengorbanan itu hanya sia-sia kerana tidak dihargai. Akhirnya dia hilang segala-galanya dan kembali ke kampung. Bermula dari situ dia kembali semula menjadi Rubidin. Di kampung dia mula mengenali Dina dan mereka mula jatuh cinta. Kebenaran yang cuba dipaparkan oleh Raja Azmi ialah kesan buruk apabila manusia sanggup menukar jantina demi mengejar sebuah cinta yang mustahil.
Menonton filem membuatkan kita merungkai erti sebuah cinta dan impian dan kita sebagai penonton perlu bijak memahaminya. Khir Rahman mungkin menggunakan pendekatannya sendiri melalui bahasa filemnya melalui setiap babak dan struktur penceritaannya. Muzik hanya dimasukkan apabila perlu sahaja mungkin ada penonton akan menanggap bahawa karya ini adalah mendatar. Bagi aku sebagai penonton kesunyian filem itu tanpa muzik memberi aku ruang untuk memahami filem dan menghayatinya melalui emosi dalaman.
Arja Lee begitu menjiwai wataknya Rubidin, seorang lelaki yang mengalami konflik diri terhadap cinta sejenis dan impiannya untuk mencintai seorang perempuan. Konflik inilah yang menyebabkan dia lari dari kehidupannya yang hakiki. Secara dasarnya, filem ini cuba membawa kita kepada satu elemen yang berbeza. Yelah, kita sering disogok dengan filem-filem Melayu yang banyak menggunakan pendekatan komersial untuk menarik minat penonton. Keberanian Raja Azmi menerbitkan filem ini harus dipuji kerana aku sendiri sebagai penonton filem-filem Melayu mungkin sudah dikaburi dengan filem-filem komersial yang kadang-kadang isinya kurang relevan dengan kehidupan realiti kita sebenar.
Tidak salah kalau aku katakan teknik arahan dan olahan begitu teliti oleh Khir Rahman memberi kesan mendalam kepada …DALAM BOTOL dan mungkin Khir Rahman Berjaya meletakkan dirinya diantara nama U-Wei Hj Shaari, Mamat Khalid dan Yasmin Ahmad.
Babak Ruby balik ke kampung dan bertemu ibu dan ayahnya, digambarkan dengan penuh emosi dan penjiwaan bila mana ayahnya terkejut dengan kepulangan anaknya yang telah bertukar jantina. Tak perlu dipertikaikan lagi lakonan Fauziah Ahmad Daud begitu juga Jalil Hamid babaknya walaupun babaknya hanya sekejap, emosi seorang ayah dilakonkan begitu baik oleh Jalil Hamid apabila melihat perubahan anaknya.
Tahniah kepada Raja Azmi kerana filem ini turut mendapat pengiktirafan antarabangsa kerana Library of Congress (LOC) yang berpusat di Washington DC berhasrat menyimpan satu salinan filem ini di sana untuk dijadikan bahan kajian pengunjung perpustakaan itu serta pelajar pusat pengajian tinggi. Jelas dengan ini karyawan Malaysia juga turut diberi penghormatan di peringkat antarabangsa. Tahniah buat Raja Azmi dan Khir Rahman. Bagi aku inilah filem paling terbaik yang pernah Raja Azmi terbitkan. Kalau yang belum menonton tu, filem ni bukan hanya sekadar untuk dilihat, ditonton dan dengar sahaja namun perlu memahami intipatinya.
Aku bagi 3 BINTANG untuk filem ni.
No comments:
Post a Comment