!TEMAN-TEMAN BLOG!

Sunday, 22 April 2012

Pesta Kaul...Khazanah Berharga Kaum Melanau

Gerai Komuniti 


Dah lama tak pergi ke Pesta Kaul, Mukah, since aku ditempatkan bekerja di Mukah aku berpeluang untuk merasai sendiri kemeriahan Pesta Kaul yang bakal menjadi tahap antarabangsa tahun depan. Memang banyak acara menarik dan Pesta Kaul kali ini memang berwarna-warni dengan susunan gerai-gerai komuniti yang berbumbungkan atap rumbia begitu juga dindingnya yang memang ingin menggambarkan ciri-ciri tradisional suku kaum Melanau. Pokok Sagu begitu sinonim dengan kaum Melanau kerana makanan tradisi suku kaum Melanau kebanyakkan daripada hasil pokok sagu.Melanau juga terbahagi mengikut bahagian di Sarawak :- 

  • Melanau Mukah
  • Melanau Dalat
  • Melanau Oya
  • Melanau Matu-Daro
  • Melanau Belawai-Rajang
  • Melanau Ba'ie (Bintulu)
  • Melanau Balingian
  • Melanau Miri

Nak cerita sikit pasal Pesta Kaul ni, pesta kaul ini merupakan upacara penyucian daripada segala unsur-unsur jahat akan dihanyutkan ke laut dan biasanya diadakan mengikut kalendar orang Melanau iaitu bulan Pengejin kini ia disambut setiap bulan April setiap tahun dan menjadi tarikan pelancong ke Mukah. Pesta Kaul ini diadakan untuk menjamu ipok atau dewa yang mengawal laut.Ia adalah upacara untuk memohon kepada ipok agar diberi rezeki dari laut dengan memperolehi hasil tangkapan yang memuaskan dan selamat semasa berada di laut dan juga untuk mengelakkan pelbagai wabak penyakit.Semasa perayaan ini diadakan ipok akan dijamu dengan menyediakan Serahang yang diperbuat daripada daun buluh dan daun nipah dengan memasukkan bertih, telur ayam, pulut kuning, kirai atau rokok daun dan sirih ke dalamnya. 

Serahang




Sejarah perayaan ini bermula dengan kepercayaan aninisme di kalangan kaum Melanau yang mana Bapa Kaul akan membaca mantera sebagai upacara permulaan pesta kaul. Kaum Melanau akan berkumpul di tepian pantai dengan membawa makanan dan berkelah bersama keluarga. Ketika berkumpul di tepi pantai, kaum Melanau akan membina Buaian Gergasi setinggi 20 kaki sebagai salah satu acara permainan ketika Kaul. Pemuda-pemuda akan melompat dari binaan tangga buluh ke arah buaian dan berayun di atasnya. Terdapat beberapa pantang larang untuk bermain permainan ini dan membinanya juga memerlukan tenaga yang yang ramai. Ada satu pantun akan dinyanyikan beramai-ramai semasa mengangkat kedua-dua tiang ini "Kat kerakat, Kerurieng udat, Tibow idei pada' mekat'. Ia adalah bertujuan untuk memuja dewa yang mengawal permainan tibow ini dan juga memohon untuk memudahkan tugas mendirikan tiang.

Tibow (Buaian Gergasi)


Selepas acara Kaul segala makanan tidak boleh dibawa balik kerana ia adalah "palei" kerana suku Kaum Melanau percaya kepada wujudnya Ipok Daat(dewa laut) bersama mereka di tepian pantai. Makanan yang berlebihan akan ditinggalkan untuk dijamu kepada Ipok. Kaum Melanau mempunyai kepercayaan kepada beberapa jenis ipok iaitu Ipok Guun (hutan), Ipok Pangai (angin) dan Ipok Sungai (sungai).



Namun kepercayaan ini mula berkurangan dengan kedatangan agama Islam dan Kristian dan Pesta Kaul kini menjadi salah satu sosio-budaya suku kaum Melanau. Ia merupakan acara perkelahan besar-besaran yang disertai pelbagai suku kaum dengan pameran kraftangan, pertunjukan kebudayaan dan pelbagai lagi khazanah tradisi yang mungkin hanya semasa Pesta Kaul sahaja kita temui. Kini ia menjadi salah satu produk pelancongan yang menarik minat orang ramai datang ke Mukah.

No comments:

Post a Comment